Memaparkan catatan dengan label Idea bisnes offline. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Idea bisnes offline. Papar semua catatan

Selasa, 11 Oktober 2016

YANZ BAKERY......MAMPUKAH BERKEMBANG?????



Salam Maal Hijrah buat semua pembaca blog yang dikasihi. Yati sentiasa doakan semoga tahun baru Hijrah membawa seribu perubahan yang baik dalam kehidupan kita. Semoga diri ini diberi kekuatan oleh ALLAH untuk sentiasa mencari amalan yang baik di dunia & akhirat..Aaminn

Topik kali ini yati nak bagitau bahawa yati dah start “MENJUAL ROTI”

Jgn tak percaya yati dah start menjual roti bun di office..

Jual murah-murah je.Testing market..kalo tak cuba mana nak tau potensinya..hehe

Projek meroti yati dah berlalu sebulan yang lepas..Alhamdullilah peluang berbisnes secara kecil-kecilan ini dah mula nampak perkembangan sedikit demi sedikit..yati dah mula letakkan roti bun di office yati & En suami..orang kata kita mula dengan memperkenalkan produk kita sendiri disekeliling  dahulu baru boleh pasarkan secara meluas.

Semakin hari semakin seronok pulak bila dah mula projek meroti. Dari setengah kilo tepung dah boleh capai tiga kilo dalam jangka masa tertentu..boleh tahan jugak nak menunggu menyiapkannya..Dari pengalaman yang tak seberapa nie, susah jugak sebenarnya…tapi bila fikir2 mana ada keja yamg mudah..

“ nak buat sesuatu yang baik @ positif kena didik diri…Ada masa kena paksa juga, supaya dalam keterpaksaan itu..InsyaAllah akan mejadi biasa & dipermudahkan……..”

Kata2 ini  yati pegang dan cuba buat sampai  jadi..bermula dari susah dulu..InsyaAllah lepas ni kami ada perancangan untuk mengambil tempahan. Rasanya tak rugi  pun ilmu yang dipelajari..

Cara ini adalah langkah permulaan untuk yati mempraktikkan ilmu yang yati belajar..tak guna jika kita belajar tapi tak dibuat atau diamalkan. Biar kecil asalkan berhasil..itu yang lebih penting. Dengan cara ini kita boleh menjana pendapatan..

InsyaAllah yati akan kongsikan di coretan lagi akan datang..semoga ianya bermanfaat buat anda.


Isnin, 26 September 2016

ROTI OH ROTI..


Mood meroti sudah bermula…

Kenapa roti menjadi pilihan yati??..sebab semua orang suka makan roti, lagi2 yang ada BRAND terkenal seperti Gardenia, Massimo, Mighty White, High dan lain2 jenama lagi. Antara sebab utamanya adalah struktur roti yang lembut dan gebu.

Buat masa sekarang masa yang terluang yati dan suami banyak dihabiskan dengan membuat roti sahaja..kadang  terasa cepatnya masa berlalu. Membuat roti sememangnya satu proses yang mengambil masa  panjang. Kita kenalah bersabar untuk menunggu pengembangan doh, membakar dan membungkus sehinggalah ianya selesai. Pernah juga kitaorang buat dari tengah hari sampailah ke tengah malam..

Mesti korang tertanya2 kenapa lamaya baru siap??? Sebab sebenarnya yati dah mula bisnes kecil-kecilan membuat roti dan alhamdulillah kauntiti setiap hari dah nampak peningkatan..lagipun kami masih  menggunakan OVEN yang kecil.. bermula dengan apa yang ada dahulu,lepas ni bolehlah fikir kaedah yang lebih baik.

Entri kali ni yati nak kongsi pengalaman buat Roti.

Firstly, dari segi nak menguli doh Roti. Masa mula2 En suami yang buat dulu, kesian jugak tengok sampai keluarlah peluh jantannya..yati tukang lap peluh jer..hehe..Mana taknya kena betul2 ambik masa menguli sekurang2nya satu jam sehingga doh betul2 elastic..kalau tidak keraslah jadinya roti tu, kalau untuk bisnes yati dah kena stanby mixer untuk memudahkan pembuatannya..kena berani buat pelaburan sikit untuk membeli mixer..harap2 ia boleh dijadikan asset untuk jangka masa yang panjang.

Sepanjang buat roti banyak kali jugak tak jadi, Orang kata buat eksperimen & adjust kembali doh yang dibuat. Nak sempurna bukan boleh buat sekali terus jadi,kena jugak berulang2 kali buat.. pernah terhangit, roti menjadi keras,kdg2 tak masak sangat, doh tak mengembang dan kurang kelembutannya..kalau tak jadi, satu rumah dapat makan free roti..Bila dah jemu makan roti, yati cuba jugak hidangan lain seperti Pizza & Roti Arab. Seronok sebenarnya bagi orang makan..

Cara ini adalah kaedah yang yati boleh guna untuk mendapatkan duit sampingan.  Sambil kita Bekerja kita boleh “BERBISNES”..Ini bukan disebabkan yati terdesak sangat nak cari duit sampai kena berniaga tapi ini adalah lebih kepada minat yang kitaorang suka buat..daripada tak buat apa, baik cari aktiviti bersama dengan En. Suami dengan membuat roti bersama2..yang penting kita mendapat sokongan daripada ahli keluarga yang lain.Yati bersyukur sangat2 kerana dapat suami yang sangat rajin membantu dalam penyedian roti kadang2 yati rasa En.suami lagi teliti dan terlebih rajin berbanding yati.

Semoga usaha kecil kami mendatangkan hasil kejayaan dimasa hadapan.

Terima kasih kerana sudi baca perkongsian yati.

STICKER ROTI PILIHAN YATI






Jumaat, 29 Julai 2016

MOOD LEPAS RAYA


Hati mula berminat belajar berBAKING..Macam tak percaya jer..

Assalamualaikum..Kita masih lagi di musim perayaan. Rayakan sebulan…tradisi “Open House” masih lagi diteruskan..

Selepas musim perayaan, yati macam dapat satu idea nak teruskan berbisnes kalau boleh produk kita sendiri..biar  bermula dengan kecil dahulu..tiba2 dapat laa idea untuk membuat Roti dan Kek..lagi2 selepas dapat membeli pembakar oven…teruja betul kitaorang suami isteri..excitednya lain macam..yang sorang dok suka tengok resipi Kek dan Roti..yang lagi sorang sibuk tgk resepi memanggang ayam dan daging…hahaaa, mmg dah lama pun berangan nak dapatkannya ..

Bagi yati,zaman sekarang ini kita kena belajar sesuatu yang baru..jgn selalu sangat berada di zon selesa nanti banyak yang terlepas..senang jer kalo tak reti menjahit atau memasak boleh jer search Google semua ada..tak de modal boleh join mana2 produk dropship, ambil peluang untuk jadikan side income  untuk kita..walaupun untungnya kecil kalau berterusan insyaAllah boleh jadi besar,peluang akan datang selepas kita ambil tindakan. Itu yang penting, kita boleh mencuba sesuatu yang kadang2 kita tak pernah buat lagi.

Berbalik kepada Berbaking ni pula..yati dah mula tengok blog2 yang mengajar tentang cara pembuatan Kek dan Roti..InsyaAllah ada peluang nak jugak masuk kelas..biar lagi jelas tutorial yang diajar. Semangat mesti tinggi pastu boleh fokus apa yang diajar. Alangkah seronoknya ada kedai bakery sendiri..berangan jap,mana tau jadi realiti. InsyaAllah

Bagi yang berminat nak mencuba boleh singgah blog yang menarik seperti berikut:-

Semoga entri kali ni dapat memberi ruang buat anda melakukan sedikit perubahan. Saya doakan semoga hari ini Allah membuka pintu rezeki yang luas untuk kita semua. Aamiin..



Isnin, 19 Oktober 2015

GOODIES KEREPEK PILIHAN


Teks: Norhayati Mohd Nooh

Alhamdulillah... percubaan kali pertama menerima tempahan goodies  bagi kerepek bawang telah dapat disempurnakan. Sebenarnya ini adalah  pengalaman kali pertama kami membuat pembungkusan goodies untuk sesebuah majlis kenduri kahwin. Kebiasaanya saya lebih kepada jualan secara kecil-kecilan.  Perasaan sungguh seronok dapat kami rasakan setelah tempahan ini disiapkan dalam jangka masa yang singkat. Semoga tempahan goodies ini akan sentiasa berterusan buat kami sekeluarga. Perkongsian kali ini saya huraikan dengan anda apa yang dikatakan dengan goodies kenduri kahwin.

Apa itu goodies kenduri kahwin
Ianya lebih  kepada Istilah cenderahati  dalam bentuk  Doorgift / Goodies Bag kahwin sebagai buah tangan tetamu yang hadir di majlis tersebut. Dahulu kita lihat adanya pemberian bunga telur pada majlis kenduri kahwin kepada tetamu, tetapi sekarang mengikut arus kemodenan dan arus semasa, mereka lebih senang memberi goodies atau doorgift pada para tetamu mereka. Kita boleh lihat kebiasaannya goodies kenduri kahwin ialah mengikut kreativiti masing - masing atau mengikut bajet yang disediakan. Pelbagai jenis bentuk dan corak serta isi dalaman goodies itu tadi. Ada yang memberi dalam bentuk barangan contoh seperti mug,cawan dan sebagainya. Ada juga goodies dalam bentuk makanan seperti cup kek, biskut dan juga aneka kerepek.


Goodies Kerepek Bawang

Kenapa anda perlu menjadikan goodies kerepek kami sebagai pilihan
1)      Barangan kami adalah universal-sesuai dimakan pada bila-bila masa dan sesuai untuk golongan kanak-kanak dan dewasa.
2)      Menyediakan aneka kerepek seperti kerepek bawang atau kerepek ubi yang dijamin sedap dan ranggup.
3)      Dapat menjimatkan masa pembungkusan. Kami menyediakan perkhidmatan pembungkusan dalam kuantiti yang banyak. Pelbagai pilihan pembungkusan mengikut citarasa anda.
4)      Harga yang berpatutan dan penghantaran percuma di kawasan berhampiran.

Jika anda masih tercari-cari produk yang sesuai untuk melengkapkan majlis istimewa anda kami sedia membantu. Semoga usaha kecil saya ini boleh memudahkan proses kerja atau urusan anda.

DELIVERY AREA-seremban-bangi-kajang-putrajaya- -KL -shah alam-(kalau ada permintaan)
HARGA BORONG: sila call/sms/pm 012-7482126
Kepada yang berminat boleh berhubung terus kepada saya.


Khamis, 1 Oktober 2015

KEREPEK BAWANG- BISNES OFFLINE


Teks: Norhayati Mohd Nooh

Assalamualaikum..
Terima kasih buat anda yang sudi menziarahi blog saya dan sentiasa bersemangat untuk menjalankan perniagaan.

Idea bisnes offline  masih lagi saya teruskan di pasaran ketika ini  dengan menjual  kerepek. Bagi saya pilihan ini adalah tepat memandangkan modal permulaan ini kecil dan boleh dilakukan di rumah sahaja. Kita boleh membuat pembungkusan dengan cara yang mudah. Ada banyak jenis pilihan kerepek di pasaran yang menjadi tumpuan anda yang ingin menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan seperti kerepek ubi, pisang, keladi atau sukun.

Antara banyak pilihan kerepek yang saya jual untuk pembungkusan kecil-kecilan, kerepek bawang menjadi pilihan. Bagi saya kerepek bawang yang saya bekal kepada anda paling sedap dimakan di tekak saya.  Kerepek bawang ini berbeza kerana rasanyanya yang ranggup, nipis dan sedap. Bila dah mengunyah,sukar untuk berhenti.

Sedikit info kerepek bawang



















Tentang kerepek bawang ialah tidak diperbuat sepenuhnya dari bawang tetapi kenapa ia diberi nama kerepek bawang disebabkan oleh jalur lapisan permukaan kerepek sama dengan bentuk hirisan dalaman sebiji bawang.
Istilah kerepek pula adalah dari segi potongan dan hirisan nipis yang dibuat serta diproses untuk menjadi kerepek bawang. Ia adalah salah satu kerepek kesukaan saya kerana mempunyai rasa sedikit pedas dan ranggup sesuai sebagai kudapan untuk sebarang majlis dan boleh juga dijadikan cenderahati atau goodies kahwin perayaan dan sebagainya.


Tempahan kerepek bawang

Jika ingin membuat tempahan kerepek bawang untuk majlis tertentu atau perayaan boleh hubungi @ whatapps saya.(012-7482126)

Harga yang kami tawarkan sangat berpatutan dan sesuai bagi sesiapa yang ingin memborong dari kami.

Bagi saya usaha kecil yang saya laksanakan  ini boleh dihabiskan sehingga selesai  mengikut perancangan apa yang sudah kita mulakan. Yang penting mesti istiqamah dan konsisten. Rezeki Allah Maha Luas dan Allah Maha Kaya. Pohon dan berdoa bersunguh-sungguh denganNya.

-Berniaga biarlah dari hati.-

Isnin, 14 September 2015

BISNES KAMPUS



Teks: Norhayati Mohd Nooh

Foto: Carian google


ALHAMDULILLAH…Semoga hari ini membawa kebahagiaan dan ketenangan buat anda.

Akitivi hujung minggu yang padat telah dapat ditempuhi dengan sebaik mungkin. Kebiasaanya bagi kami yang bekerja cuti sabtu dan ahad adalah hari yang ditunggu-tunggu untuk bercuti bersama keluarga. Perancangannya yang  telah dibuat perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin. Saya bersyukur kepada Allah masih memberi limpahan kasih sayang yang berpanjangan buat kami berdua,walaupun kami  masih belum dikurniakan zuriat sendiri.Saya yakin perancangan Allah adalah yang terbaik buat hambanya, Sentiasa bersangka baik dengan ketentuanNya.InsyaAllah jika diizinkan pasti saatnya akan tiba.

Aktiviti mencari bekalan kerepek diteruskan dengan mendapatkan bekalan di Banting, Selangor. Perjalanan hanya mengambil masa satu jam dari Nilai. Perancangan kami untuk menjual makanan ringan(kudap-kudapan) sebagai  permulaan bisnes kampus. Fokus dan tindakan perlu dijalankan seiring supaya matlamat dapat dicapai. Kami perlu membeli secara borong dan menjualnya dalam kuantiti yang kecil. Alhamdulillah kerjasama dengan En suami dapat memudahkan dan mempercepatkan  lagi proses pembungkusan diataskan sumbangan tenaga dan masa beliau. Kami juga perlu mencari pasaran dikalangan pelajar yang menduduki kolej kediaman untuk memasarkan dan membuat pengagihan produk kami. Bagi saya yang penting kita belajar mencari untung kecil dahulu sebelum mengembangkannya.

HARI TERBUKA USIM 2015 yang diadakan baru-baru ini  juga menarik perhatian saya mengunjungi. Terdapat pameran dan gerai jualan, pertandingan, pameran sains, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, aktiviti bersama kanak-kanak, program bersama komuniti, USIM talents search serta bengkel bacaan surah Al-Fatihah.Hari Terbuka USIM 2015 dilaksanakan bertujuan untuk memperkenalkan USIM sebagai sebuah universiti berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Penganjuran hari terbuka itu dilakukan bersempena sambutan ulang tahun ke-15 USIM.


Saya juga kagum dengan penyertaan pelajar  secara langsung  dalam menceburi dunia perniagaan dengan membuka gerai jualannya. Bisnes kampus yang dilakukan sebenarnya membantu pelajar membina jaringan perhubungan dengan pelanggan yang sedia ada. Bisnes kampus sebenarnya adalah permulaan untuk kita memberanikan diri untuk berhadapan dengan pelanggan luar. Bina keyakinan dalam diri serta tingkatkan ilmu perniagaan seawal mungkin sebagai persediaan melangkah ke dunia pekerjaan. Apa yang saya kongsikan adalah sebagai  panduan kepada adik-adik yang berminat untuk menjana pendapatan sendiri  di kampus tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain. Saya  sebelum ini kurang mendapat pendedahan tentang ilmu perniagaan. Namun itu bukan halangan untuk saya sentiasa belajar dan belajar mencari ilmu pengetahuaan.

Doakan saya berjaya dan mampu lakukan.
#peringatanuntukdirisendiri



Selasa, 8 September 2015

BIISNES OFFLINE ( SIRI 3)


Teks: Norhayati Mohd Nooh


"BISNES KAMPUS"
Topik kali ini menarik minat saya untuk berkongsi dengan anda. Paparan akhbar minggu lepas banyak memaparkan mengenai kemasukan pelajar baru ke Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA). Bila dilihat mengenai sttistik kemasukannya, berlaku penambahan pelajar  hampir setiap tahun.Tahniah juga diucapkankan kepada adik saya(JuraidahMohd Nooh) kerana dapat menyambung pelajaran ke peringkat master di Universiti Sains Islam Malaysia(USIM). Terasa seronoknya dapat menambah ilmu pengetahuan di Menara gading, mengimbau kenangan 10 tahun lalu saya di Universiti Utara Malaysia.

Alhamdullilah, saya sangat bersyukur En suami adalah staff di USIM, boleh juga  beliau berkhidmat menyumbang tenaga untuk memajukan visi dan misi universiti. Mungkin ada hikmah sebaliknya penghijrahan saya dari Kluang Ke Nilai, Negeri Sembilan. Bumi bertuah Nilai adalah antara tempat  yang sedang meningkat naik dengan aktiviti pembangunan kerana kawasannya yang strategic  kerana adanya pusat pendidikan serta berhampiran dengan bandar-bandar besar.

Berbalik kepada bisnes kampus, saya rasa alangkah ruginya jika saya tidak mengambil peluang menjalankan perniagaan secara kecil-kecil. Perancangan kami untuk berniaga menjual makanan ringan(kudap-kudapan)@ Bisnes makanan sedia ada(ready-to-eat)seperti burger@sandwich@makanan sejuk beku yang telah digoreng.Mungkin perniagaan yag saya jalankan tidak mendapat keuntungan yang banyak,tapi jika ia dilakukan secara berterusan dan istiqamah akan mendatangkan hasilnya. InsyaAllah semoga segala aktiviti kami ini dipermudahkan. Pengalaman yang lalu semasa berniaga di Tapak Eskpo USIM banyak membantu kami untuk berjinak-jinak berniaga dikampus. Kalau kita tidak mencuba, mana mungkin kita mendapat hasil.
 
Saya senaraikan‘Bisnes Kampus’yang boleh dijadikan pilihan berniaga. Antaranya:-

·         Jual kad tambah nilai pra bayar (topup)
·         Perkhidmatan fotokopi atau cetakan
·         Khidmat menyunting tugasan (proof reading)
·         Cetakan T-Shirt/Jualan t-shirt Muslimah
·         Menjual makanan dari bilik ke bilik
·         Khidmat membaik-pulih laptop
·         Khidmat dobi / mencuci pakaian

Sebenarnya dalam mana-mana bidang  perniagaan, tindakan permulaan inilah yang paling sukar kita laksanakan. Adakah kita mampu untuk melakukan.”Mulakankan dengan langkah pertama,BUKTIKAN DENGAN TINDAKAN..InsyaAllah  tindakan yang lain akan menyusul dengan izinNYA”pesanan Pn Azura Abdullah dalam Buku Bekerja & Berniaga: Panduan kejayaan untuk Suri  masih lagi saya ingat sampai sekarang..

Doakan saya berjaya dam mampu lakukan.
#peringatanuntukdirisendiri




Khamis, 3 September 2015

TIPS PROMOSI MENGGUNAKAN RISALAH


Teks: Norhayati Mohd Nooh

Saya ingin berkongsi dengan anda mengenai cara pengiklanan yang dapat  memperkenalkan produk anda kepada umum. Antaranya ialah risalah. Risalah merupakan salah satu kaedah promosi yang lazim digunakan oleh para peniaga. Kaedah promosi sebegini dapat dilakukan oleh peniaga kecil yang mempunyai modal promosi yang terhad.  Bagi saya kaedah  ini langkah permulaan jika ingin mencuba bisnes secara offline.

Berikut merupakan tips-tips untuk memaksimakan promosi menggunakan risalah.

1.Risalah haruslah menarik

Perkara ini penting kerana waktu yang digunakan untuk membaca risalah adalah singkat. Ini menyebabkan betapa pentingnya pilihan warna yang menarik, susun atur, dan yang terutama sekali, jenis tawaran yang diberi serta ganjaran bagi siapa yang segera mengambil tindakan.

2.Tetapkan sasaran pasaran anda

Meskipun kos pembuatan risalah dikira murah jika dibandingkan dengan media promosi yang lain, namun jika tidak mengena dengan sasarannya akan mengakibatkan pembaziran. Sebelum anda mengedarkan risalah kepada orang ramai, pastikan bahawa anda mempunyai senarai sasaran pasaran, serta ciri-cirinya.

3.Edarkan ke sasaran pasaran yang tepat

Edarkan risalah kepada pasaran yang betul, contohnya, sewaktu seminar dan pameran. Risalah juga boleh diedarkan di kawasan perumahan, sesuai dengan sasaran pasaran anda. Lampirkan dalam surat khabar juga merupakan cara yang berkesan.

4.Selalu uji dan ukur 

Ini merupakan satu perkara penting untuk memastikan keberkesanan penyebaran risalah anda. Selalu uji sebelum mengedarkan risalah secara besar-besaran, baik dari segi menguji bahan risalah, sasaran pasaran dan kaedah pengedaran. Cara menguji cukup mudah, minta beberapa orang sebagai sasaran pasaran anda untuk melihat dan memberi maklum balas terhadap risalah yang anda reka. Jika mereka tertarik dengan risalah yang anda buat, dan tergerak melakukan pembelian saat itu juga, maka anda sudah bersedia untuk mengedarkannya secara besar-besaran. Setelah pengedaran dibuat, selalu pertingkatkan keberkesanan pengedaran risalah anda. Jika ada yang kekurangan, maka pembetulan perlu dibuat supaya kesalahan yang sama tidak diulangi.


------

Semoga maklumat ini dapat membantu anda mempromosikan produk. InsyaAllah

Rabu, 2 September 2015

FOKUS, FOKUS DAN FOKUS LAGI..

Teks: Norhayati Mohd Nooh
Foto: Carian google


FOLLOW ONE COURSE UNTIL SUCCESSFUL(FOKUS)

















Jangan cepat berubah hati. Situasi ini selalu terjadi kepada kita semua sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila perniagaan kita agak lembab dan tidak berhasil. Selalunya ini berlaku pada peringkat awal perniagaan.

Jadi bagi mereka yang tidak tahan sabar, saat ini dirasakan gagal. Lalu, mereka membuat keputusan, ‘Sebelum gagal lebih lagi, baiklah mereka menukarkan kepada perniagaan lain!’

Jangan bimbang, bukan anda saja yang merasainya begitu. Ramai usahawan yang baru-baru terlibat di dalam perniagaan akan berpendapat sedemikian.

Sebenarnya, ini terjadi kerana kurang keyakinan dan tidak fokus. Anda hanya perlu fokus dan teruskan usaha anda. Usaha dengan lebih gigih lagi dan fokus pada satu perniagaan dulu sehingga berjaya. Jangan cepat-cepat menukar perniagaan lain.

Fokus kepada perniagaan kita sekarang dan sentiasa katakan kepada diri sendiri bahawa perniagaan yang kita sedang usahakan sekarang adalah yang terbaik.

Fokus kepada perniagaan yang kita usahakan sehingga benar-benar matang dan stabil sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang perniagaan lain. Jangan jadi seperti pepatah Melayu, “yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran“.

Semoga anda semua mendapat semangat untuk membuat pembaharuan. Yakinlah  setiap tindakan  yang dilakukan mampu melakar kejayaan di dunia dan akhirat



Khamis, 27 Ogos 2015

PERNIAGAAN OFFLINE( SIRI 2)


Teks: Norhayati Mohd Nooh

Saya ingin meneruskan coretan saya pada kali ini dengan berkongsi pengalaman menjalankan perniagaan offline yang saya jalankan.  Kita sedia maklum bahawa perniagaan offline terdiri pelbagai jenis produk fizikal yang boleh anda jualkan. Sekitar tahun 2013, saya  bersama suami pernah memulakan perniagaan menjual  selipar  serta pakain t-shirt  lelaki di Uptown Putra Nilai. Pengalaman berniaga secara sambilan di Uptown membawa kenangan suka dan duka buat kami berdua.

Penglibatan kami bermula apabila kawan mengajak mencuba berniaga disamping  saya melihat kemeriahan pengunjung yang datang terlampau ramai pada setiap hari  sejak uptown di kawasan itu dibuka. Kami terasa teruja untuk terlibat sama menyertainya.

Bila bercakap mengenai up town@ down town, sebenarnya saya suka pergi ke tempat tersebut.Melihat ramai peniaga bersaing secara sihat untuk mempromosikan produk mereka. Pelbagai jenis jualan boleh didapati , mudah untuk aktiviti tawar menawar,dan harga yang dikenakan berpatutan. Waktu operasi perniagaan juga sehingga ke larut malam dari 9.00mlm sehigga 2.00 pagi.

Alhamdulillah, kami dapat menjalankan operasi perniaagaan tersebut hanya selama 5 bulan sahaja. Hal ini kerana  hasil jualan semakin berkurangan akibat kemerosotan pengunjung untuk datang. Kesukaran untuk menigkatkan jualan disamping terpaksa menanggung kos sewaan  tapak yang mahal. Akhirnya kami terpaksa mengambil keputusan untuk menutup. Namun bagi saya, peluang untuk berniaga tetap ada. Kami pernah memasuki jualan karnival di Tapak Ekspo USIM, Jualan Dataran Nilai pada hujung minggu serta Bazar Ramadhan  walaupun ianya hanya sementara sahaja.

 Bagi anda yang berminat mencuba berniaga di Uptown,fikirlah sebaik mungkin dan perlulah
  • Bersedia  dari segi fizikal dan mental kerana perlu sanggup bersusah dahulu buat permulaannya. Hati kena kental dan sentiasa tebalkan muka untuk promosikan barangan.Aktiviti pemunggahan sering dibuat.
  • Jangan laburkan modal yang besar . Ada kalanya peniaga terlampau ghairah dengan membeli terlampau banyak stok. Lihat keadaan pasaran@ pengunjung  dahulu di kawasan baru bagi mengelakkan menanggung kos kerugian yang tinggi.
  • Tengok  dahulu komitmen penganjur untuk menaikkan tapak tersebut.  Ada setengah penganjur hanya ingin mengaut keuntungan sahaja dengan mengenakan kos sewaan tapak yang mahal. Ini menyebabkan peniaga sukar untuk bertahan lama.
  • Bersabar  menerima keadaan cuaca yang tidak menentu.Contohnya, bila musim hujan lebat, air mudah masuk ke khemah. Maka barangan tidak boleh simpan di khemah terlampau banyak.
  • Mempelengkapkan ilmu pegetahuan  serta carilah mentor yang berjaya untuk berkongsi ilmu dunia perniagaan ini.

 Pengalaman ini banyak mengajar saya selok belok tentang perniagaan,mungkin ini kelemahan saya dahulu yang  cetek ilmu perniagaan. Saya tetapkan dalam hati jangan mengaku kalah. Saya bersyukur masih mendapat sokongan moral daripada keluarga.

Melaksanakan perniagaan ini membuatkan saya benar-benar TAWAKAL kepada Allah sebab rezeki adalah RAHSIA Allah untuk kita.

InsyaAllah. Semoga penulisan kali ini memberi manfaat buat anda.

Khamis, 20 Ogos 2015

PERNIAGAAN OFFLINE

Teks: Norhayati Mohd Nooh
Foto: Carian google

Penulisan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman menjalankan perniagaan secara offline yang pernah saya jalankan. Perniagaan offline yang saya jalankankan ialah menjual Biskut Raya semasa di musim perayaan yang lepas. Boleh dikatakan saya juga masih baru dalam dunia perniagaan ini, banyak yang perlu saya belajar dan mengutip ilmu daripada mentor yang telah berjaya demi meningkatkan hasil jualan saya pada masa akan datang.

Saya cuba kongsikan dengan anda perkara yang perlu ditekan semasa menjalankan perniagaan ini. Bagi saya kita perlu membuat persediaan dari awal lagi terutama sebelum,semasa menjelang perayaan dan selepas musim perayaan.

Antara langkah yang boleh diberi perhatian:-

  1)Sebelum Musim Perayaan
 Waktunya adalah sebelum mula bulan Ramadhan untuk kita berpuasa. Pada ketika ini, saya sudah  menyiapkan sample jualan untuk diagihkan kepada pengguna saya bagi mencuba dan merasai kualiti  biskut yang saya jual. Saya mula memberitahu dan mempromosikan kepada kawan-kawan di pejabat dan jiran tetangga. Dengan kaedah ini,  kita  boleh membina rangkaian perhubungan bagi memperkenalkan produk yang kita jual di pasaran. Usah berasa takut untuk bertindak.

 2) Menjelang Musim Perayaan
Apabila kita sudah bersedia untuk berniaga, perkara yang perlu ditekankan adalah tetapkan matlamat dan target jualan yang mampu untuk kita jual.  Jalankan sedikit promosi dikalangan kawan-kawan melalui media sosial dan melantik dealer@agent untuk sama-sama menjual biskut raya. Selain itu, penting untuk mendapatkan pembekal bagi mendapatkan stok yang banyak dengan kos yang minimum.

3) Selepas Musim Perayaan
Pastikan adanya menyimpan lebihan biskut raya yang sedikit bagi memudahkan pembeli membuat pengulangan belian terhadap produk kita. Perkara penting adalah usaha dan kesungguhan, yang merangkumi kesungguhan itu ialah kemahuan mempelajari sesuatu. Daripada tidak tahu kepada tahu. InsyaAllah, saya rasa anda boleh melakukan lebih baik daripada saya.

Semoga perkongsian ini membantu pembaca untuk membuat perancangan dimasa akan datang. InsyaAllah, semoga dipermudahkan urusan di dunia & akhirat.