Jumaat, 16 Oktober 2015

MUHASABAH DIRI

Kesusahan mengajak kita RAPAT dengan Al-QURAN
**********************************************************
Bismillah.
Saya masih ingat lagi tatkala hidup saya sering di uji, sebenarnya pada saat itulah saya mula rapat dengan Al-Quran. Sebelum itu bukan saya tidak membacanya, tetapi saya tidak kisah untuk ambil tahu tentang tafsir dan maksud terjemahan kalam Allah.
Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada (ketentuan) Allah jika Dia mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu?” Mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Al-Ahzab 33 : 17)
Tatkala membaca firman Allah di atas, barulah saya sedar bahawa Allah mahu saya belajar yakin bahawa setiap ujian yang menimpa hidup saya itu sebenarnya itu adalah kehendak Allah.
Allah yang Maha Menguruskan lebih tahu kenapa dan mengapa saya harus lalui ujian itu, untuk belajar yakin dan memperbaiki iman saya untuk benar-benar bergantung harap dan memohon pertolongan hanya kepada Allah.
Alhamdulillah! Masya-Allah! Bila saya lalui hari-hari yang sukar, Al-Quran saya ambil dan perlahan-lahan saya membukanya dan menjadi tempat saya merujuk. Al-Quran benar-benar hidup!
Tatkala membaca tafsir Al-Quran air mata saya berlinangan dan kadang-kadang saya menangis teresak-esak atas setiap pesanan kasih sayang yang Allah sampaikan melalui Kalam Suci.
*****
Izinkan saya memetik kata-kata Hadrat Hasan Basri r.a:
“Orang pada zaman dahulu meyakini bahawa Al-Quran itu adalah perintah Allah SWT. Sepanjang malam mereka memikir dan merenung tentang kandungannya dan pada waktu siang mereka beramal dengannya. Sementara kamu bersungguh-sungguh membetulkan sebutan huruf-huruf dan baris-baris huruf tersebut tetapi kamu tidak meyakini al-Quran sebagai perintah Tuhan dan tidak juga kamu merenung dan memikirkan kandunganal-Quran”
*****
Kerana itulah Allah mengilhamkan saya untuk memasukkan bab 16: Al-Quran adalah Rakan Terbaik dan bab 29: Mengundang Kesenangan dengan Al-Quran dalam buku Bersama Kesusahan Ada Kesenangan. Moga beroleh manfaat. Insya-Allah.

(sumber : penulis buku bersama kesusahan ada kesenangan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan