Selasa, 18 Ogos 2015

PERNIAGAAN MUSIM PERAYAAN

Teks: Norhayati Mohd Nooh
Foto: Carian google

Berniaga di musim perayaan. Topik ini menarik perhatian saya untuk berkongsi dengan anda semua. Saya boleh dikategorikan sebagai “ Peniaga Bermusim” sahaja, selepas raya saya tidak lagi menjalankan aktiviti berniaga. Namun pengalaman ini sangat indah dan menjadi satu memori buat kami untuk dikenang kembali.

Idea berniaga di Tapak Bazar Ramadhan ini bermula apabila kawan suami mengajak kami berdua bersama-sama berniaga. Pada ketika itu, kami belum ada produk yang menarik untuk dijual sehinggalah En Suami mengajak saya  mencuba berniaga berasaskan manisan seperti aneka puding. Bagi saya, aneka puding juga boleh menarik pelanggan untuk membeli sekiranya mempunyai kualiti rasa yang sedap dan variasi yang pelbagai ,malah manisan jenis  ini tahan lama untuk disimpan ditempat sejuk.

Disamping itu, saya  mempelawa kawan-kawan yang ingin berniaga untuk sama-sama mencuba menjual produk mereka. Niat saya ingin membantu mereka mendapatkan pendapatan sampingan seterusnya dapat mempelbagaikan jenis barangan di gerai kami. Kita semua perlu mencuba melakukan sesuatu dan berani bertindak kerana jika kita mempunyai idea tapi tiada tindakan,maka usaha itu hanyalah sia-sia. Yakinlah untuk memulakan tindakan pertama kerana perkara lain akan menyusul dengan izinNya.

Alhamdullilah pada tahun ini, kami masih meneruskan aktiviti berniaga di Bazar Ramadhan yang berdekatan dengan rumah. Lokasi yang dekat ini memudahkan En suami memunggah barangan ke tempat berniaga.Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana hasil air tangan kami berdua mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pembeli. Pengalaman yang paling seronok apabila pelanggan yang sama sentiasa mengunjungi gerai kami pada setiap hari dan jalinan silaturrahim antara peniaga dapat dikekalkan sehingga kini.

Bagi saya perkara penting adalah NIAT @ TUJUAN kita laksanakan perniagaan ini. Semoga suatu hari nanti saya dapat memasarkan produk yang memberi manfaat kepada pembeli. InsyaAllah Rezeki Ramadhan yang saya dapat akan saya agihkan sebaik mungkin bagi mendapat keredhaan ALLAH.
Oleh itu, berniaga di musim perayaan adalah antara perniagaan yang boleh kita mulakan secara kecil-kecilan kerana terdapat banyak jenis perniagaan yang boleh dilakukan seperti berniaga pakaian, aksesoris dan makanan yang mana ianya menjadi tumpuan pembeli di musim perayaan.

Akhir sekali  saya kongsikan 6 tips yang saya amalkan.
1. Niat berniaga kerana ALLAH Taala.
2. Yakin bahawa rezeki daripada Allah.
3. Set matlamat dan target yang jelas.
4. Berdamping dengan golongan yang berjaya dan positif.
5. Tambah ilmu (ilmu akhirat dan dunia).
6. Bersedia dari segi fizikal & mental.


Saya doakan anda yang menziarahi blog saya dipermudahkan urusan didunia & akhirat. Semoga entri kali ini memberi manfaat kepada semua.

Tapak Bazar Ramadhan Nilai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan